
Tahun 2015 ini negara kita, Malaysia akan mula mengimplementasikan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (Goods and Services Tax) atau akronimnya, GST. Melalui warta Kerajaan Persekutuan, P.U. (B) 320, bertarikh 30hb Jun 2014, kerajaan telah menetapkan tarikh effektif bagi Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 [Akta 762] adalah pada 1hb April 2015. Oleh itu, para peniaga khasnya dan para pengguna harus bersedia dan memahami bagaimana GST ini akan dilaksanakan nanti agar tidak mengelirukan anda semua dikemudian hari kelak.
Info lengkap mengenai GST ada diterbitkan dilaman web GST Malaysia. Namun untuk ringkasan, saya akan gariskan dalam artikel beberapa perkara yang saya rasa anda semua perlu tahu.
Maksud GST
Nama GST sendiri menerangkan serba sedikit maksud Akta ini iaitu ia adalah akta yang mengenakan cukai pada barang-barang dan perkidmatan yang diGUNAKAN DALAM NEGARA ini. Maksudnya cukai dikenakan pada barang dan perkhidmatan:
- yang dijual/dibekalkan dalam Malaysia
- yang diimport ke dalam negara Malaysia
Ia tidak dikenakan pada barang-barang yang dieksport ke luar negara atau yang dibawa ke luar oleh pelancong tertakluk pada syarat-syarat tertentu. Di bawah akta ini semua penjual (pengeluar, pengilang, pemborong mahupun peruncit) hendaklah mengenakan GST terhadap apa-apa barang/perkhidmatan yang mereka jual itu. Pembeli pula hendaklah membayar cukai itu.
Atas sebab itu, GST tidaklah dikira sebagai kos perniagaan. Sebaliknya KOS INI DITANGGUNG oleh pengguna.
Kadar GST
Kadar GST adalah 6% sebagaimana yang diwartakan oleh kerajaan. [Rujuk juga pada bahagian Standard Rate Supply].
VAT (Value Added Tax)
GST juga dikenali sebagai nama VAT atau value added tax dikebanyakkan negara-negara lain yang telah mengimplementasikannya. Ini kerana cukai dikenakan disetiap peringkat barangan/perkhidmatan itu diedarkan. Sebagaimana yang dinyatakan di atas, GST bukanlah kos perniagaan. Penjual/peniaga boleh mendapatkan kembali rebet cukai bila ia dijual/diedar pada peringkat seterusnya.
Lihat contoh di bawah ini:
- Pengeluar plastik menjual plastik kepada pengilang pada harga RM 1000. Dia hendaklah mengenakan GST sebanyak 6% pada barangan yang dijual itu iaitu RM 60. Oleh itu, pengilang hendaklah membayarnya RM 1,060 untuk bekalan plastik itu.
- Pengilang kemudiannya memproses plastik menjadi barangan perabot. Perabot itu dijual kepada pemborong pada harga RM 5,000. Pengilang akan mengenakan GST 6% iaitu sebanyak RM 300 pada barangan yang dijual itu. Secara keseluruhan, pemborong perlu membayar RM 5,300 pada pengilang pula.
- Pemborong pula menaikkan harga bila menjual kepada peruncit dengan menjual pada harga RM 8,000. GST yang perlu dikenakan berjumlah RM 480. Oleh itu peruncit perlu membayar sebanyak RM 8,480 pada pemborong.
- Sekarang peruncit pula akan menaikkan harga bagi mendapatkan keuntungan. Dia menetapkan harga jualan sebanyak RM 10,000. Dalam masa yang sama dia perlu mengenakan GST 6% pada barang tersebut. Oleh itu, apabila pengguna membeli dari peruncit, dia perlu membayar sebanyak RM 10,000 + GST 6% (RM600) iaitu RM 10,600.
Rebet Cukai
Berdasarkan contoh di atas:
- Pengeluar plastik mengutip cukai sebanyak RM 60 dari pengilang dan membayarnya kepada kerajaan menerusi Jabatan Kastam Di Raja Malaysia.
- Pengilang pula mengutip cukai sebanyak RM 300 dari pemborong dan dia boleh menolak (rebet) cukai sebanyak RM 60 yang dibayar pada pengeluar plastik tadi. Oleh itu, dia cuma perlu membayar RM 240 cukai pada kerajaan.
- Begitu juga diperingkat seterusnya, pemborong mengutip cukai sebanyak RM 480 dan boleh menolak RM 300 yang dibayar pada pengilang tadi. Maka jumlah yang perlu dibayar pada kerajaan adalah RM 180.
- Akhir sekali, peruncit akan membayar kerajaan sebanyak RM 120 (RM 600 – RM 480) untuk bahagian cukainya pula.
Secara keseluruhan cukai yang dikutip kerajaan dalam ‘chain of supply‘/ rangkaian pembekalan ini adalah sebanyak RM 60 + RM 240 + RM 180 + RM 120 = RM 600.
Semua kos GST ini adalah sebenarnya ditanggung oleh PENGGUNA.
Nota:
- GST bukan kos perniagaan (Tidak secara langsung. Namun perniagaan akan merasai kos secara tidak langsung dari segi pentadbiran bagi menguruskan GST. Contohnya: perisian akaun GST).
- Peniaga bolehlah dianggap sebagai agen pengutip cukai kerajaan di bawah sistem ini.
Latar Belakang GST
Cadangan implemantasi GST telah lama dibentangkan. Pertamanya, menerusi pembentangan bajet 2005 oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Di bawah cadangan awal juga, GST mahu dikuatkuasakan pada 1 hb Januari 2007. Namun, desakan dan tentangan terhadap GST menyebabkan ia gagal dilaksanakan sehingga sekarang.
Mengapa GST Mahu DiLaksanakan?
Laman web www.gst.com.my menyifatkan GST adalah sistem cukai yang lebih baik dan adil berbanding SST serta mengariskan 7 sebab mengapa GST wajar dilaksanakan iaitu:
- ia mengurangkan kos perniagaan
- meningkatkan persaingan barangan Malaysia di peringkat global
- memudahkan urusan mengawal selia pematuhan undang-undang
- mengurangkan red-tape atau birokrasi
- cukai yang lebih samarata di semua peringkat pengeluaran
- harga yang lebih adil berbanding dengan SST(Sales & Service Tax).
- lebih telus
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa sebab UTAMA bagi mengimplementasikan GST di Malaysia adalah bagi meningkatkan HASIL kerajaan dan mengelakkan kebocoran hasil dari sistem yang ada sekarang. Ini kerana GST adalah sistem yang lebih komprehensif dan skopnya adalah lebih luas dari Sales & Service Tax (Cukai Jualan Dan Perkhidmatan). Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini, kerajaan menjangkakan akan mengutip hasil sebanyak RM 23 billion dengan GST berbanding dengan RM 13 billion dengan sistem sekarang.
GST Dan SST
Amnya ramai yang tahu bahawa Goods and Services Tax ini akan menggantikan Sales & Service Tax bila dikuatkuasakan pada 1hb April nanti. Apakah bezanya antara kedua-duanya?
BEZAnya GST lebih luas:
- Di bawah SST – Semua barangan dan perkhidmatan yang dijual adalah tidak tertakluk pada cukai barang dan perkhidmatan KECUALI barangan/perkhidmatan tertentu yang disenaraikan oleh kerajaan.
- Di bawah GST – Semua barangan dan perkhidmatan yang dijual ADALAH TERTAKLUK pada cukai barang/perkhidmatan kecuali yang dikecualikan dan had yang dinyatakan dibawah “zero-rated supplies“.
Kumpulan Rangkaian (Group of Supplies) Di Bawah GST
Untuk tujuan GST, terdapat 4 kumpulan rangkaian iaitu:-
- Standard-Rated Supplies – Barangan/Servis biasa. Tertakluk pada GST 6%
- Zero-Rated Supplies – Servis/Barangan tertentu dan cuma tertakluk pada GST bila had minima dilangkaui
- Exempt Supplies – Tidak dikenakan GST. Barangan awam seperti LRT, bas, taxi, healthcare dsb
- Out-Of-Scope Supplies – Servis yang disediakan oleh kerajaan seperti passport, lesen dan sebagainya. Tidak dikenakan GST juga.
Artikel ini akan dikemaskini/tambah dari semasa ke semasa. Harap maklum.
- GST Malaysia: Apa Yang Anda Perlu Tahu?
The post GST Malaysia: Apa Yang Anda Perlu Tahu? appeared first on Dulu Lain Sekarang Lain.