![HRM]()
![pengurusan sumber manusia]()
Ramai pembaca blog ini terdiri dari mereka yang berminat dengan hal-hal berkaitan pengurusan sumber manusia dan undang-undang buruh. Antara soalan yang kerap menjadi bahan pertanyaan adalah berkenaan masalah datang lambat ke tempat kerja.
Isu ini menjadi pertanyaan bukan sahaja oleh pekerja-pekerja, malahan majikan dan pengamal sumber manusia (HR practitioner).
Bezanya, setiap mereka melihat dari sudut yang berbeza.
Pekerja misalnya ingin tahu apakah sesetengah hukuman yang dikenakan terhadap mereka apabila datang lambat ke tempat kerja itu adalah adil dan mengikut undang-undang?
Majikan ingin tahu apakah tindakan dan cara menangani masalah pekerja yang lewat ke tempat kerja.
Pengamal sumber manusia ingin tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini tanpa melemahkan semangat pekerja dan menyalahi apa-apa peruntukkan akta tapi dalam masa yang sama tindakan itu dibuat selaras dengan menjaga kepentingan ‘boss’ atau majikan.
![punch card]()
Lambat Ke Tempat Kerja
Harus diingat masalah ini bukanlah masalah yang terpencil (isolated case). Ia berlaku di mana-mana di seluruh dunia dan bukan hanya di Malaysia.
Di Amerika Syarikat misalnya, satu kajian CareerBuilder terhadap pekerja dan pengamal sumber manusia dalam pelbagai industri mendapati:
- 16% pekerja dilaporkan lewat ke tempat kerja sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu
- 27 % pekerja dilaporkan lewat ke tempat kerja sekurang-kurangnya sehari dalam sebulan
Alasan utama yang sering dikemukakan adalah:
- Kesesakan lalu lintas (31%)
- Kekurangan tidur (18%)
- Cuaca buruk (11%)
![Datang Lambat Ke Tempat Kerja]()
Apakah pula alasan yang sering anda gunakan? ![:D]()
Apa-apa pun alasan anda, saya harap anda semua (pekerja terutamanya) jangan memandang remeh akan isu ini. Ini melibatkan soal produktiviti, kecekapan (efficiency) dan kos majikan.
Kesannya mudah:
Jika syarikat tidak cekap dan produktif,
Maka syarikat boleh mengalami kerugian,
Jika rugi, maka syarikat perlu ditutup atau mengalami proses penstrukturan semula
Dalam proses penstrukturan semula, gaji akan dikaji semula, bonus akan ditangguh dan sebagainya
Apabila syarikat ditutup, pekerja akan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan
![Punctuality]()
Bukan mudah untuk mendapat pekerjaan dalam iklim ekonomi masa kini.
Menurut laporan Utusan Online, dari 100,000 jawatan kosong yang ditawarkan oleh PDRM bulan lalu, seramai 1,000,000 orang yang memohonnya.
Kos Yang Mungkin Timbul
Sebagaimana yang saya terangkan di atas, masalah ini boleh menjadikan syarikat kurang cekap dan produktif. Ia memang benar dan saya rasa ramai yang pernah alami situasi seperti:
anda pergi ke food court,
ada beberapa gerai di sana
anda mahu beli makanan di gerai A
gerai A lambat melayan anda kerana pekerja sibuk bercakap di telefon
anda rasa meradang
anda beli di gerai B
Itu adalah ilustrasi bagaimana kecekapan memainkan peranan penting dalam menjaga produktiviti syarikat. Dalam situasi yang lain pula, kelewatan boleh menyebabkan majikan hilang pelanggan, pecah kontrak dan sebagainya.
Ia juga dianggap sebagai kacau ganggu (nuisance) dalam perniagaan kerana:
- urusan pentadbiran bagi mengingatkan pekerja agar tidak lewat/mengambil tindakan disiplin
- mencari pekerja bagi menggantikan pekerja yang lewat terutama dalam kerja-kerja shift
- membayar OT bagi pekerja yang menggantikan shift
- menjadi contoh buruk bagi pekerja-pekerja lain terutama jika tindakan berkesan gagal diambil terhadapnya
![late people]()
Ini semua kos tidak nampak yang tidak disedari pekerja. Namun, jika tinjauan dibuat dan statistik dikeluarkan, maka kerugian yang tidak nampak ini akan menjadi jelas di mata anda.
Kos Akibat Lewat
Kita tidak mempunyai statistik di Malaysia, namun di AS, kos yang ditanggung majikan akibat dari kelewatan pekerja ke tempat kerja dianggarkan berjumlah US $3 billion setahun. [Rujukan: Never Be Late Again: 7 Cures for the Punctually Challenged].
![tardiness]()
Menyelesaikan Isu Lambat Ke Tempat Kerja
Oleh itu ia perlu diselesaikan dengan cara yang terbaik dengan mengambil kira kepentingan majikan dan yang terbaik buat pekerja.
Harus diingat ada pekerja yang sering lewat ke pejabat namun mempunyai mutu kerja yang jauh lebih tinggi dari mereka yang ‘punctual‘ atau sentiasa berada di pejabat.
Ini membawa kita kembali ke kajian yang dibuat oleh CareerBuilder yang juga mendapati bahawa:
44% Pengurus Sumber Manusia tidak peduli jika pekerja mereka lewat asalkan kerja disiapkan dengan baik dan mengikut masa yang ditetapkan
20% Pengurus Sumber Manusia pula menegaskan bahawa mereka akan memecat pekerja yang lewat empat kali dalam setahun tidak kira berapa bagus atau tidak kerja yang dilakukannya.
![late employee]()
Sumber: www.cioinsight.com
Berdasarkan kajian CareerBuilder kita boleh simpulkan bahawa menyelesaikan isu ini bukanlah sesuatu yang ‘straight forward‘ atau mudah.
Penyelesaian atau tindakan berbeza oleh pengurus sumber manusia mungkin kerana ia berdasarkan:
Industri perniagaan
Jenis pekerjaan
Kesan sampingan
Sensitiviti
Nilai pekerja pada majikan
dan lain-lain lagi
Pekerja yang menjalankan kerja-kerja bersifat kreatif seperti rekacipta digital atau penulisan mungkin tidak perlu hadir ke tempat kerja mengikut waktu pejabat. Yang penting ialah kualiti hasil kerja dan ia menepati ‘dateline‘.
Akan tetapi bagi pekerja yang menjalankan kerja-kerja mengawal selia seperti ‘operator loji‘ dan sebagainya, soal masa menjadi suatu yang sensitif yang perlu dipatuhi terutama jika majikan dalam perniagaan yang melibatkan kepentingan awam.
Atas sebab itu, majikan perlu menetapkan polisi yang harus digunakan dalam menangani isu ini.
terutamanya jika kelewatan pekerja memberikan impak yang kurang baik buat perniagaan.
Menurut penulis buku Diana DeLonzor, bukan semua pekerja yang lewat ke tempat kerja tidak menghargai masa dan polisi syarikat, akan tetapi dia mungkin tidak pandai mengatur masanya. Maka pihak sumber manusia perlu membantunya terutama jika merasakan pekerja ini penting buat oraganisasi tersebut.
![mengawal masa]()
Secara amnya masalah ini boleh dikurangkan dan ditangani, namun ia perlukan kesungguhan dan usaha berterusan majikan dan jabatan sumber manusia terutamanya.
Antara tindakan-tindakan yang sering diambil oleh HR adalah:
- mengenakan peraturan-peraturan yang lebih ketat
- menguatkuasakan peraturan-peraturan itu
- ganjaran/bonus dan sebagainya buat mereka yang patuh peraturan
- sekatan kenaikan gaji/tiada bonus buat mereka yang tidak patuh dengan masa kerja
- hadiah khas buat mereka yang punyai rekod kedatangan yang baik
Peruntukkan Undang-Undang
Sebagaimana yang telah diterangkan dalam artikel-artikel yang lepas, hak dan tanggungjawab pekerja dan majikan adalah terkandung dalam kontrak kerja yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Akta Kontrak 1950 hendaklah di rujuk.
![undang-undang]()
Akan tetapi jika pekerja adalah dilindungi oleh akta yang spesifik mengenai perundangan buruh:
Akta Kerja 1955
Ordinan Buruh Sabah (Sabah Cap. 67)
Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76)
maka peruntukkan MINIMA yang terkandung dalam akta/ordinan itu wajib di patuhi juga. [Generalibus Specialia Derogant].
Akta dan ordinan-ordinan tidak menyebut dengan spesifik bagaimana untuk menguruskan pekerja yang tidak menepati masa ini. Oleh itu, pembacaan yang lebih mendalam dan keputusan Mahkamah Perindustrian boleh lah dirujuk.
Memotong Gaji Pekerja
Antara isu berkenaan undang-undang yang sering timbul dalam kes-kes sebegini ialah bila majikan bertindak memotong gaji pekerja yang lewat ke tempat kerja.
Perkara yang perlu diingat adalah: GAJI ADALAH PERKARA ASAS kontrak.
Oleh itu, ia perlu diuruskan dengan berhati-hati agar tidak dianggap sebagai memecahkan kontrak kerja (breach of contract).
Perlu diingat juga akta/ordinan MELARANG pemotongan gaji kecuali atas sebab-sebab yang dibenarkan oleh akta/ordinan.
Bagaimana untuk majikan justifikasikan pemotongan gaji atas sebab pekerja datang lewat?
Sekali lagi diingatkan bahawa akta/ordinan tidak memperuntukkan apa-apa mengenai datang lewat. Namun, jika pekerja lewat tanpa alasan munasabah yang boleh dimaafkan oleh majikan, maka dia dianggap sebagai tidak mematuhi terma kontrak kerjanya.
Di bawah terma kontrak kerja di arahkan untuk berkerja mengikut ‘masa kerja‘ yang ditetapkan.
Seksyen 60A(9) Akta Kerja 1955 mendefinasikan ‘masa kerja‘ sebagai:
![masa kerja]()
Masa yang mana majikan mempunyai kawalan terhadap pekerja dan pekerja tidak bebas bergerak mengikut kehendaknya sendiri.
Bila pekerja adalah lewat, maka dia bertindak mengikut kehendak dirinya dan diluar kawalan majikan, maka atas sebab itu dia tidak mematuhi masa kerja yang telah ditetapkan.
Oleh kerana itu, majikan berhak untuk membayar berdasarkan MASA KERJA SEBENAR (actual hours worked) yang dilakukannya.
![pekerja bergaji hari]()
Dalam situasi di atas, majikan hanya perlu membayar gajinya pada hari tersebut mengikut waktu sebenar dia berkerja iaitu:
![gaji pekerja untuk hari itu]()
Untuk pekerja bergaji bulan pula majikan boleh membuat kiraan dengan cara:
![gaji bulanan]()
Bolehkah Majikan Membuang Pekerja Yang Lewat Ke Tempat Kerja?
Menamatkan kontrak sesuatu pekerja bukanlah proses yang mudah terutama jika sebabnya hanya kerana lewat ke pejabat. Akta/Ordinan ada memperuntukkan situasi dimana pekerja boleh ditamatkan kontrak dan ini termasuklah ‘dismissal for wrongful conduct‘ dan ‘notice of termination‘.
Akan tetapi majikan perlu berhati-hati apabila menggunakan kedua-dua cara ini kerana pekerja boleh mempertikaikan tindakan majikan atas alasan ‘penamatan kontrak secara salah‘.
Oleh itu sebelum tindakan sebegini diambil, pastikan antara lain:
Pekerja telah diberitahu akan kesalahannya
Pekerja telah diberi amaran mengenainya
Pekerja telah diberi peluang untuk membaiki prestasinya
Pekerja engkar dan tidak mematuhi amaran tersebut
Pekerja terus mengulangi kesalahan biarpun telah beberapa kali di beri amaran
Pekerja di beri peluang membela diri
Penutup
Menguruskan pekerja bermasalah sebegini adalah salah satu cabaran yang dalam pengurusan sumber manusia. Ia memerlukan perancangan dan tindakan yang sistematik agak sesuatu organisasi tidak terjejas lantaran keputusan yang dibuat adalah kurang tepat ataupun menyalahi undang-undang. Di harap artikel ini dapat membantu anda semua yang berada dalam situasi ini.
Pendapat dan cadangan anda amat di alu-alukan.
Terima kasih.
The post HR: Masalah Datang Lambat Ke Tempat Kerja appeared first on Dulu Lain Sekarang Lain.